Apa Itu Saham?

1. Saham adalah bisnes.

2. Misalnya, kita mahu jual air soya di tepi jalan. Kita keluarkan modal RM500, kawan kita keluarkan RM 500. Jadi, dalam bisnes air soya, saham bisnes kita adalah 50%.

3. Bisnes berkembang, kita pun pergi bank minta pembiayaan. Bank luluskan. Kita dapat buka kilang.

4. Bisnes makin berkembang. Kita pergi bank. Bank kata, “Kalau bank nak bagi modal boleh, tapi kos pembiayan sekarang agak tinggi. Cara lebih murah adalah jual saham syarikat encik kepada orang awam untuk tambah modal.”

5. Kita setuju. 50% dari saham kita dan rakan niaga kita tadi dijual kepada orang ramai. 100,000 unit saham baru akan dijual. Namanya saham terbitan awam atau initial public offering (IPO).

6. Sekarang, pemilik-pemilik saham syarikat air soya berhad adalah kita, rakan kita dan pemegang-pemegang saham lain yang membeli sebahagian dari 100,000 unit saham yang baru itu. 

7. Muhammad Hafiz Hadi adalah salah seorang pemilik saham yang baru itu tadi. Oleh kerana terlalu ramai yang mahu saham syarikat air soya berhad, harga sahamnya naik di Bursa Malaysia. Untunglah pelabur bernama Muhammad Hafiz Hadi. Dia pun jual saham dia untuk dibeli oleh orang lain.

8. Nur Alia Shuhada juga adalah salah seorang pemilik saham. Walaupun harga saham telah naik, tapi dia tak mahu jual lagi. Rupa-rupanya dia menunggu dividen hasil dari keuntungan operasi syarikat. Malah, dia tambah lagi pegangan saham dia apabila ada orang lain mahu menjual sahamnya.

9. Kita selaku pemilik asal syarikat tersenyum lebar sebab dah dapat modal dari IPO. Orang ramai juga dapat menumpang keuntungan syarikat kita dengan membeli saham-saham syarikat. Maklumlah, bukan semua orang berbakat uruskan bisnes sendiri sampai boleh diapungkan ke Bursa Malaysia.

10. Sebagai pelabur saham, urusan jual beli ini dibuat menerusi Bursa Malaysia dengan membuka dahulu akaun dengan mana-mana syarikat broker / bank pelaburan yang berdaftar.