Barangkali Kita Lebih Sesuai Beri Modal Kepada Mereka Yang Ada Bakat Bisnes

Bukan semua orang berbakat bisnes.

Mungkin lebih baik kita beri modal kepada orang yang berbakat bisnes. Untuk memahami perkara ini dengan lebih baik, ini ceritanya.

Fasa Startup

Hakimi memulakan bisnes menjual air soya di tepi jalan.

Modal permulaannya cuma RM 500 sahaja.

Alhamdulillah, rezeki bisnes semakin baik sehingga Hakimi perlu membuka kedai dan kilang untuk menampung permintaan yang banyak. Produk-produk baru berkaitan air juga perlu dibuat untuk mengembangkan lagi bisnes.

Fasa Small Medium Enteprise (SME)

Maka, Hakimi pun berjumpa dengan bank, bahagian perbankan bisnes & komersil untuk membuat pembiayaan. Pembiayaan bisnes diluluskan dan Hakimi dapat mengembangkan bisnesnya dengan lebih jauh. Kini produk syarikatnya bukan sekadar air soya, malahan air pelbagai perisa dalam kotak dan tin.

Rezeki semakin bertambah, produknya kini dikenali satu Malaysia. Sudah lebih 100 pengedar di seluruh negara memasarkan produk minumannya. Lantas Hakimi pun mencari jalan untuk menambahkan modal untuk terus berkembang.

Seorang pegawai bank pelaburan menasihati beliau supaya mendapatkan modal menerusi pasaran ekuiti. Syarikat Hakimi Sdn Bhd bakal menjadi Hakimi Holdings Bhd. Untuk membolehkan Hakimi terus mengawal syarikat tersebut, dia bersetuju untuk menjual 49% sahamnya kepada pelabur yang berminat, pelabur institusi dan pelabur runcit.

Fasa Syarikat Berhad

Sebanyak 300 juta unit saham diterbitkan dan 49% daripadanya dijual kepada pelabur lain dalam proses yang dikenali sebagai Initial Public Offering (IPO). Maka orang ramai pun meneliti prospektus yang dikeluarkan, dan pelabur yang berminat dengan syarikat Hakimi Holdings Bhd pun membeli IPO dari primary market, seterusnya dapat menikmati perkembangan syarikat itu bersama-sama dengan Hakimi selaku pemilik syarikat.

Salah seorang pemegang saham IPO bernama Azmir. Oleh kerana terlalu ramai pelabur yang mahu membeli saham Hakimi Holdings Bhd, maka harga saham tersebut terus naik di Bursa Malaysia pada hari pertama penyenaraian saham itu dibuat. Oleh kerana kenaikan yang begitu banyak dalam masa yang singkat, Azmir pun menjual semua saham miliknya kepada orang lain melalui jual beli di Bursa Malaysia. Azmir mendapat untung capital gain.

Manakala, ada pemilik saham lain bernama Abdul Hasib. Walaupun harga saham Hakimi Holdings naik dengan banyak, dia terus hold saham tersebut. Dia yakin dengan prestasi jangka panjang bisnes dan mahu terus mendapatkan keuntungan dividen selain dari capital gain. Malah, Abdul Hasib terus membeli saham Hakimi Holdings Bhd dari semasa ke semasa menerusi Bursa Malaysia.

Hakimi tersenyum lebar apabila selesai proses IPO. Dia mendapat modal ekuiti yang sesuai dengan hasratnya untuk mengembangkan bisnes sehingga ke peringkat luar negara pula. Pada masa yang sama, orang ramai juga dapat menumpang keuntungan syarikatnya dengan membeli saham-saham Hakimi Holdings Bhd. Maklumlah, bukan semua orang berbakat uruskan bisnes sendiri sampai boleh diapungkan ke Bursa Malaysia

Bakat Bisnes

Hakimi merupakan seorang yang berbakat dalam bisnes. Mempunyai DNA bisnes yang sesuai untuk membangunkan bisnes dari bawah. Walaupun begitu, apabila sudah sampai masanya bisnes berkembang, ia memerlukan modal sangat banyak.

Maka Hakimi mengembangkan bisnes dengan langkah yang paling kerap menjadi pilihan usahawan, iaitu membuat pembiayaan dengan bank komersil. Namun, bank komersil juga mempunyai had untuk memberikan pembiayaan kepada sesebuah syarikat. Dipendekkan cerita, Hakimi memilih cara seterusnya dengan mendapatkan modal bisnes menerusi pasaran saham.

Apabila Hakimi memilih untuk mendapatkan modal dari pasaran saham, dia perlu melepaskan sebahagian besar pemilikan syarikat kepada pelabur-pelabur baru. Itu adalah pengorbanan yang mesti dibuat untuk merealisasikan cita-cita bisnesnya.

Bisnes memerlukan bakat. Bukan semua orang mempunyai DNA bisnes yang sesuai untuk membangunkan bisnes dari bawah. Dan sampai satu ketika, bisnes memerlukan modal tambahan.

Bisnes Mendapat Modal Dari Pelabur

Maka itulah tugas dan fungsi seorang pelabur, iaitu membeli bisnes yang sesuai. Sebagai pertukaran bagi duit tunai sebagai modal, pemilikan syarikat diberikan kepada para pelabur dalam bentuk unit-unit saham.

Selaku pemilik saham, ganjaran utama adalah dividen yang diperoleh dari operasi syarikat. Pemberian dividen ini dapat dibuat setahun sekali, 2 kali setahun atau 4 kali setahun. Bergantung kepada polisi syarikat. Selain itu, pemilik saham juga berpeluang mendapat saham-saham percuma atau pun bonus tunai sekiranya perkembangan syarikat yang dimilikinya adalah memberangsangkan.

Apabila unit-unit saham ini didagangkan dalam secondary market iaitu Bursa Malaysia, maka pemilik saham juga berpeluang mendapat capital gain.  Iaitu apabila saham dijual lebih tinggi dari harga belian.

Azmir dan Abdul Hasib barangkali berbakat atau mempunyai disiplin ilmu yang betul untuk mengenalpasti syarikat yang baik seterusnya membeli saham-saham syarikat yang dibangunkan usahawan seperti Hakimi. Atau, mungkin hanya nasib.

Pelabur juga terdiri dari dua kategori, iaitu pelabur individu yang mempunyai lebihan tunai atau pun pelabur institusi seperti Nakhaie, yang bekerja sebagai pengurus dana di AFIQ Fund Management Sdn Bhd. Ini adalah contoh pelabur institusi. Dia berjual beli saham bagi pihak orang lain dan bukan dirinya sendiri.

Kita adalah pelabur individu, ataupun dikenali sebagai pelabur runcit. Manakala institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH) adalah contoh para pelabur institusi.

Pelabur Kecil, Kapal Kecil

Selaku pelabur kecil, cukuplah membeli antara 3 hingga 5 syarikat sahaja pada sesuatu masa. 10 masih boleh, tetapi itu pun sudah banyak bagi kita. Adalah lebih baik untuk kita fokus pada syarikat yang benar-benar berkualiti sahaja. Nak beli lebih dari 10 boleh, sekiranya tuan mampu untuk memantau semua syarikat yang dibeli.

Pastikan kita membuat analisis sendiri. Jangan bergantung dengan mana-mana pihak. Apabila terbaca di mana-mana ada tips saham diberikan, maka tugas kita adalah menyemak semula syarikat tersebut. Semua ini perlu dibuat sendiri. Maklumlah, kita tidak mempunyai kelebihan seperti pelabur institusi yang mempunyai pasukan khas untuk membuat penyelidikan. Namun, perkara tersebut bukanlah penghalang. Malah, ia adalah satu kelebihan!

Sebagai seorang pelabur kecil, kita mempunyai 100% kebebasan untuk membuat keputusan bila untuk membeli, dan berapa banyak yang mahu dibeli. Kita tidak mempunyai had tertentu apabila melabur.

Ibaratnya adalah seperti seorang pemain bola sepak yang dibenarkan untuk ‘offside’ untuk menjaringkan gol. Tak perlu ada kemahiran hebat macam Pele. Tak perlu jadi macam Diego Maradona. Kita cuma perlu tunggu sahaja di depan pintu gol dan menunggu bola sampai di kaki kita. Kita tak perlu menggelecek pertahanan, membuat hantaran lintang apatah lagi membuat sepakan percuma.

Tunggu depan gol, bola sampai, rembat terus masuk gol!

Sila klik dan baca seterusnya:

>> Melabur Saham Memang Mudah, Yang Susah Tu Buat Untung Konsisten


Buat Pembelian | Servis Pakdi