Melabur Saham Memang Mudah

Saya ada seorang pakcik. Dia kawan rapat almarhum bapak saya. Alhamdulillah hubungan kami berjalan baik walaupun bapak dah lama meninggal dunia.

Semasa berziarah, antara perkara yang dibualkan ialah tentang kebun sawit. Ya tentang buah sawit, pekerja sawit, baja sawit dan bukannya pasal crude palm oil futures (FCPO).

Tak kisahlah berziarah musim raya, kenduri atau pun tidak, bila masuk bab sawit topik yang diceritakan ialah harga semasa buah sawit. Bila sekali petik buah, berapa harga satu tan.

Pakcik ini tak pernah risau pasal harga tanah sawit tu naik atau turun. Sebaliknya tentang faktor-faktor yang dapat menyebabkan harga buah sawit naik atau turun.

Sekiranya satu tan harga 350 ringgit, maka sekiranya hasil kebun 15 tan maka dapatlah hasil kasar lebih kurang 5000 ribu. Itulah perkara yang dia kisah.

Melabur Seperti Bercucuk Tanam

Semua orang dapat berjual beli saham.

Malah, nak buat untung pun mudah. Memang boleh untung punya. Dari 10 kali beli, takkan 1 pembelian pun tak ada untung, kan?

Ramai tidak dapat buat untung dengan konsisten dalam jual beli saham sebab mereka tidak tahu apa yang mereka buat. Tak tahu pun apa itu pelaburan.

Ramai individu cuma tahu 'nak buat duit' dengan cepat. Sedangkan cara buat duit dalam bisnes dan pelaburan adalah berbeza. Akhirnya, cuma jadi kaki judi saham. Itu yang duit habis dileburkan begitu sahaja.

Dalam Islam, pelaburan disebut istithmar. Maksudnya penghasilan buah. Kita wajib tahu perbezaan pelaburan dan bisnes (bay'). Kita melabur dalam bisnes sebagai seorang pelabur dan bukannya menjadi pengurus bisnes.

Pelabur lebih mirip dengan pekerjaan seorang petani, pekebun atau peladang. Mari kita lihat apa yang dibuat oleh seorang petani, saya ambil contoh seorang pekebun sawit.

Mula-mula, dia perlu mencari tanah yang sesuai. Bukan semua jenis tanah sesuai untuk tanam sawit. Seterusnya, dia perlu mencari anak pokok yang baik. Dia perlu mencari anak-anak pokok yang berkualiti dengan sedaya upaya dirinya. Pekebun sawit faham paling cepat hasil dapat dituai adalah 3 tahun. Selepas 5 tahun buah yang lebih berkualiti dapat dihasilkan. Dan pokok sawit dapat bertahan selama 20 hingga 30 tahun. Pekebun sawit juga kena tahu jadual racun, baja, pruning dan lain-lain.

Seorang pekebun sawit berpengalaman sekalipun, dia tidak dapat menjamin berapa tan buah yang dapat dihasilkan setiap kali dipetik.

Dia juga tidak mempunyai 100% kepastian adakah anak pokok yang digunakan mengeluarkan buah sawit yang paling baik. Dari lebih 5,000 pokok sawit yang ditanam, sudah pasti ada pokok yang langsung tidak mengeluarkan hasil.

Dia terpaksa bertawakal sekiranya berlaku kemarau dan banjir. Dia tahu hasilnya ada, tetapi cuma sekadar anggaran dan tiada jaminan sama sekali. Itulah risiko yang perlu dia ambil.

Cuma apabila dia mengguna pakai kaedah yang betul, dia dapat mengurangkan risiko. Berbanding main tanam sawit begitu sahaja tanpa apa-apa pengetahuan dan hanya berharap berbuah lebat.

Sasarkan Pulangan Yang Realistik

Sebagai permulaan, sasarkan pulangan lebih sikit dari 7 peratus setahun.

Setahun. Bukannya tiap bulan dapat 7 peratus. Siapa dijanjikan untuk macam tu confirm dapat memang sah hancing!

Ini adalah sasaran yang realistik untuk pelabur baru. Pelajar kedoktoran yang habis belajar ijazah pun belum terus jadi pakar. Tak boleh terus-terus nak potong badan orang. Jauh lagi perjalanan.

Begitulah juga perjalanan nak jadi pelabur. Ada fasa pelabur baru, ada fasa pelabur yang dah ada 3 tahun pengalaman, ada fasa pelabur yang dah 10 tahun di pasaran.

Selepas habis misi pelaburan pertama baru lah membuat sasaran yang lebih tinggi, iaitu antara 10% - 15% setahun secara terkompaun.

Mungkin tahun pertama dapat 30%, kemudian rugi 10%, seterusnya untung semula 25%. Tetapi pengiraan secara terkompaun menunjukkan kita memperoleh 15% setahun. Ia bukan bermaksud setiap tahun mesti dapat 15% dan langsung tak rugi.

“Eh, setakat ‘double’ rate ASB aje?”

Adakah tuan berpendapat untung 15% itu sedikit? Sabar dulu. Jangan terus buat kesimpulan. Buat pengiraan dulu.

Bermodalkan 10 ribu sekiranya tuan simpan dalam ASB selepas 30 tahun, modal tersebut dianggarkan dapat berkembang menjadi RM 70,000. 

Namun, jika kita mensasarkan lebih sedikit dari ASB, misalnya 'double' dari pulangan ASB, nilainya bukan berkembang menjadi RM 200,00 tapi lebih dari 600 ribu ringgit!

Sasaran sebegini adalah wajar dan berpatutan.

Jika tuan mahu mendapat pulangan yang lebih cepat, pada kadar yang lebih tinggi maka barangkali tuan perlu semak semula kesesuaian diri untuk melabur dalam pasaran saham. Lebih baik tuan berniaga sehingga syarikat berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.

Jangan Kena Tipu

Ramai pelabur baru dijanjikan pulangan yang tak masuk akal. Tiap-tiap bulan dapat untung 5 peratus. Setahun 60 peratus. Sebulan 10 peratus. Setahun 120 peratus.

Mari kita lihat dari perspektif berikut:

  1. Kadar inflasi rasmi sekitar 3% setahun.
  2. Kadar perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah antara 4-6% setahun.
  3. Kadar pulangan simpanan di Lembaga Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera adalah 4-7% setahun.

Seorang pelabur kena sentiasa berpijak di atas bumi yang nyata. Pembelian saham bermaksud seseorang itu membeli pemilikan dalam bisnes yang sebenar. Pendapatan setiap syarikat ini memberi sumbangan kepada pengiraan KDNK dalam negara kita. Pelaburan saham bukan sekadar teka turun naik harga. Pelaburan saham juga bukannya skim cepat kaya.

Sekiranya seseorang pelabur mengharapkan pulangan 100 peratus setiap tahun, mahukah tuan tahu berapakah hasil pelaburan 10 ribu selepas 30 tahun?

Jumlahnya adalah RM 10.737 trillion.

Lebih kaya dari Malaysia. Lebih kurang sama kaya macam United Kingdom! Pelabur saham lebih kaya dari KDNK? Ho ho ho. Sah kena tipu.

Melaburlah Seperti Petani

Kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan. Kita cuma perlu menggunakan kaedah-kaedah melabur yang betul supaya dapat memberikan pulangan yang baik.

Walaupun kita telah mengikut 100 peratus kaedah tersebut, masih tiada jaminan hasilnya ada. Tiada jaminan hasilnya tinggi. Tetapi risiko telah dikawal.

Macam pekebun sawit itu tadi.

Selanjutnya, sila klik dan baca:

>> Pelabur Saham Jika Rugi 100 Peratus Sekalipun Tak Jatuh Miskin


Buat Pembelian