Pelabur Saham Mesti Berani Tengok Harga Saham Jatuh

Warren Buffett, 88, mula membeli saham Berkshire Hathaway (BRK) pada tahun 1962 pada harga $7.50 sesaham, dan hari ini saham kelas A BRK berharga sekitar $300 ribu sesaham.

Pegangan saham Warren Buffet dalam syarikat Berkshire Hathaway ialah kira-kira 31.7 peratus. Keuntungan modal yang diperoleh dalam tempoh lebih 50 tahun adalah sebanyak 1.8 juta peratus (1,826,163%). Ya, tak salah titik perpuluhan. Apa yang berlaku sejak dari 1962?

Saham syarikat Berkshire Hathaway pernah mengalami kejatuhan harga seperti berikut:

  • Mac 1973 – Januari 1975 : -59.1%
  • 2 – 27 Oktober 1987 : -37.1%
  • Jun 1998 – Mac 2000 : -48.9%
  • September 2008 – Mac 2009 : -50.7%

Warren Buffett pun berkata:

You shouldn’t own common stocks if a 50% decrease in their value in a short period of time would cause you acute distress.

Turun naik harga merupakan fenomena biasa dalam pasaran saham.

Hari-hari harga turun naik. Istilah teknikalnya ialah volatility.

Semua pelabur memang suka melihat harga saham yang dibeli naik dari hari ke hari. Tetapi apa yang lebih mencetuskan adrenalin, yang menyebabkan organ-organ dalaman kita bergetar hebat adalah situasi ‘beruang terjun tingkap’. Ketika itu barulah kita tahu siapa yang masih membawa lesen L, lesen P atau pun lesen super Formula 1.

“The bull walks up the stairs and the bear jumps out the window.”

Ini adalah peribahasa pasaran saham. Maksudnya, pasaran menjunam lebih cepat dari pasaran menaik.

Pada 2014, salah seorang klien coaching kami ada membeli saham Padini pada harga sekitar RM 2.

Tidak lama selepas itu, saham Padini mengalami kejatuhan harga sehingga mencecah RM 1.30! Atau kerugian atas kertas sebanyak 35%. Bagi mereka yang tidak mempunyai minda pelabur, respons segera adalah menjual saham Padini ketika harga jatuh. Tetapi klien kami terus membeli lagi pada sekitar harga RM 1.30 - RM 1.40. Harga Padini naik semula, bukan sedikit tetapi sehingga mencecah RM 3.08 pada 7 September 2016 dan menjualnya dan ada pembelian yang mencatat keuntungan 100%.

Apabila melihat semula situasi ini sekarang, nampak macam senang. Ya, nampak macam senang.

Tapi hanya mereka yang telah mengalaminya sendiri yang tahu betapa berserabutnya emosi ketika melihat kejatuhan harga saham yang berlaku. Nak jual ke hold. Hold ke jual. Ke beli lagi. Lupa dah semua yang dipelajari dalam kelas, coaching dan tutorial ini. Maklumlah kalau modal beli saham Padini RM 30 ribu, rugi atas kertas waktu itu mencecah RM 10 ribu! 1/3 modal "hilang".

Namun minda seorang pelabur dapat membantu kita membuat keputusan yang lebih baik dalam situasi tersebut.

Super Bull Run 1993, Krisis Kewangan 1997 & Subprima 2008

1. Ketika Super Bull Run berlaku pada 1993, Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) memerlukan masa 1 tahun untuk naik dari dari paras 630 mata ke paras tertinggi 1332 mata (Kenaikan 110%).

Kemudian jatuh sehingga mencecah paras 930 mata dalam tempoh 4 bulan sahaja. Kejatuhan sebanyak 30%.

2. Seterusnya, KLCI memerlukan masa 26 bulan (1995-1997) dari paras 850 mata untuk mencecah paras 1278 mata (+ 50%).

Kemudian, apabila krisis kewangan Asia melanda pada 1997, KLCI jatuh 480 mata alam tempoh 10 bulan. Kejatuhan 62%.

3. Sebelum krisis subprima pada 2008 pula menyaksikan KLCI naik dari 910 mata ke 1520 mata dalam tempoh 18 bulan (+67%).

Kemudian jatuh semula ke paras 850 mata dalam tempoh 11 bulan. Kejatuhan 44%.

4. Pada bulan Ogos 2013, KLCI memerlukan 4 bulan iaitu dari bulan April – Julai untuk naik mencecah paras tertinggi iaitu 1810 mata, dari paras 1650 mata.

Kemudian kembali semula ke paras yang sama dengan kejatuhan kira-kira 160 mata dalam tempoh tidak sampai 2 minggu. Naik perlu masa 4 bulan, jatuh tidak sampai 14 hari!

Jangan Takut Dengan Volatility

Kita perlu menerima sifat roller-coaster pasaran saham, juga digelar oleh Benjamin Graham sebagai Mr Market ini untuk berjaya dalam pasaran saham.

Mr Market ini emosional orangnya. Contohnya, kita anggap saham itu sebuku sabun mandi. Satu hari Mr Market menawarkan kepada kita harga sebuku sabun RM 10. Tak masuk akal. Jadi, jika kita rasa harga RM 10 itu tidak masuk akal, tak perlu beli.

Pada hari yang lain pula, Mr Market menjual sebuku sabun itu dengan harga 10 sen sahaja. Juga harga tak masuk akal. Macam mana harga sebuku sabun dijual dengan harga semurah itu?

Keesokan harinya pula, Mr Market menjual sebuku sabun dengan harga RM 1 pula. Kita berpendapat RM 1 itu adalah harga patut bagi sebuku sabun mandi. Sekarang, nak beli atau tidak?

Begitulah perangai Mr Market. Kita susah nak faham sepenuhnya. Kita cuma perlu menerima sepenuhnya sifatnya yang sungguh emosional. Tak perlu lawan sifat semula jadi yang memang sebegitu.

Di mana-mana taman tema, bukankah sudah ada tanda amaran yang mengingatkan bahaya-bahaya terhadap diri kita sebelum menaiki sesebuah roller-coaster?

Jika sudah bersedia nak naik roller-coaster, sila teruskan membaca:

>> Barangkali Kita Lebih Sesuai Beri Modal Kepada Mereka Yang Ada Bakat Bisnes


Buat Pembelian | Servis Pakdi