Takut Rugi Duit Habis Kalau Labur Saham

Perbelanjaan RM 10 pada usia 30 tahun dapat menjadi RM 18 pada usia 60 tahun. Itu kalau kadar inflasi 2% setahun.

Manakala, setiap RM 10 pada 1977 yang dilaburkan dalam pasaran saham, 40 tahun kemudian, (2016) nilainya menjadi RM 145. Untung 7.1% setahun.

Inilah yang dikatakan saham dan menjadi satu kenderaan kekayaan yang sangat baik. Orang yang tidak mahu melabur itulah sebenarnya orang yang confirm pasti rugi.
.

Ada sekurang-kurangnya 2 sebab kenapa kita perlu melabur. Iaitu:

  • Inflasi
  • Zakat

1. Duit Habis Disebabkan Inflasi

Inflasi menghabiskan kuasa membeli kita.

Berapakah jumlah duit belanja yang kita terima dari mak ayah pada zaman kita bersekolah rendah dahulu ? 20 sen ? 30 sen ? 50 sen ?

Berapakah jumlah duit belanja yang kita beri anak kita pula hari ini ? RM 2 ? RM 3 ? RM 5 ?

Walaupun jumlahnya berbeza, namun apa yang kita makan di kantin sekolah dahulu sebenarnya tetap sama dengan apa yang anak kita makan di kantin sekolah mereka pada hari ini. Tetap dapat nasi lemak 1, kuih dan air.

Itulah inflasi secara mudah.

Inflasi ini adalah berbahaya kerana ianya berlaku secara senyap. Inflasi ini berlaku tanpa kita sedar dan apabila kita merasainya maka itu tandanya kita sudah terlambat bertindak.

Mahukah saudara pembaca tahu kesan inflasi terhadap duit RM 1 ribu dengan inflasi 3% setahun yang hanya disimpan dalam almari ?

Selepas 10 tahun, walaupun jumlah atas kertas kekal RM 1 ribu tetapi kuasa membelinya cuma menjadi sekitar RM 744 sahaja. Dalam erti kata lain untuk kekalkan kuasa membeli RM 1 ribu, duit tadi perlu berkembang menjadi RM 1,344 dalam tempoh yang sama.

2. Duit Tunai Habis Sebab Bayar Zakat

"Eh Pakdi ni, bagus apa bayar zakat!"

Sabar dulu.

Nabi Muhammad (berselawatlah kita) ada menyebut,

Perniagakanlah harta anak-anak yatim, agar tidak habis dimakan oleh zakat.

Dalam hadis lain, disebutkan “kembangkanlah”. Hadis ini direkodkan oleh Imam Syafie, Imam Thabrani dan juga Imam Tirmizi.

Apakah yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah adalah seperti berikut:

Seandainya seseorang itu mempunyai simpanan RM 100 ribu. Maka simpanan itu wajib dikenakan zakat. Taksiran tahunan zakat wang simpanan ialah 2.5% ke atas RM 100 ribu. Selepas 1 tahun, individu tadi membayar zakat sebanyak RM 2,500 dan baki duit simpanan berkurangan menjadi RM 97,500.

Tahun seterusnya, oleh kerana jumlah wang simpanan sudah berkurangan maka  jumlah zakat yang dikeluarkan pun semakin berkurang; taksirannya ialah 2.5% atas RM 97,500. Sekiranya situasi ini berterusan selama 10 tahun tanpa diniaga / dilabur maka pada tahun ke 11, duit simpanan tadi cuma tinggal dalam RM 77 ribu sahaja.

Namun sekiranya duit simpanan tadi diniaga / dilabur maka situasinya berubah. Melalui pelaburan yang dibuat, simpanan telah berkembang menjadi RM 110 ribu. Maka, taksiran zakat kini menjadi 2.5% atas RM 110 ribu. Sekiranya berterusan, jumlah zakat bertambah banyak seiring dengan modal yang telah berkembang itu tadi.

Maka, siapa lagi bagus ? Mereka yang melabur dan makin banyak bayar zakat atau yang sekadar simpan dan makin sikit bayar zakat ?
.

Jadi, siapa yang tak mahu melabur itu sah-sah rugi. Confirm.

Jalan keluarnya adalah dengan melabur. Dapat lawan inflasi, dapat bayar zakat dengan lebih banyak.

Gambler sahaja yang beli saham asyik-asyik rugi ni. Sebab mereka bukan pelabur yang sebenar. Mereka main teka-teka turun naik harga. Pelabur saham tak buat begitu.
.

Sekarang, jadikan saham sebagai kenderaan kekayaan untuk mencapai sasaran-sasaran berikut:

  • Nak cukupkan tabung persaraan supaya ada bersara dengan hati yang tenang ?
  • Seterusnya meninggalkan waris dalam keadaan kaya dan bukannya miskin dan meminta-minta.
  • Mahu ada pilihan untuk bersara lebih awal dari persaraan wajib ?
  • Mahu cukupkan tabung pendidikan anak-anak supaya mereka dapat belajar di luar negara ?
  • ______________________ ? (sila isi sendiri)

Sila ambil masa untuk fikirkan sebab-sebabnya sebelum baca nota seterusnya.