Ramai individu termasuklah pelabur sedia ada tidak menjadikan saham sebagai kenderaan kekayaan menuju destinasi persaraan. Ini kerana mereka tidak faham asas sebenar tentang pelaburan saham.
Ilmu pelaburan saham adalah antara ilmu urus duit yang tidak diajar di sekolah. Ramai yang cuma dapat gambaran pasal pasaran saham dari filem-filem Hollywood atau hanya mendengar cerita dari mereka yang telah rugi.
Pada hakikatnya duit kita dalam tabung pencen baik yang diterima oleh penjawat awam, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) malah tabung nak pergi haji pun banyak yang dilaburkan dalam pasaran saham. Ini menunjukkan pihak yang menguruskan tabung-tabung tersebut menjadikan pasaran saham sebagai kenderaan kekayaan.
Sampai satu ketika dalam hidup kita pasti memikirkan keperluan nak pergi haji, pendidikan anak-anak dan juga sudah pasti persaraan. Kegagalan kita mempersiapkan diri dengan ilmu pelaburan saham yang betul pasti menyebabkan kita tidak cukup duit bila saat tersebut tiba.
Peluang untuk membuat pelaburan saham ada di sekeliling kita. Anak-anak kita minum susu Dutch Lady, makan coklat Apollo dan biskut Famous Amos. Para eksekutif muda sering ke Starbucks untuk secawan kopi, memilih Air Asia untuk bercuti dan menonton wayang di Golden Screen Cinema. Ibu suka menjadikan AEON Mall sebagai tempat membeli belah untuk keluarga, ada yang suka membeli secara online dengan broadband Unifi menerima barang mereka dari servis Pos Malaysia. Bapa bayar hutang rumah kepada Bank Islam, ambil takaful dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad dan bawa keluarga makan KFC.
Malangnya tak ramai menggunakan produk dan servis syarikat-syarikat itu tadi yang dah beli saham-sahamnya. Syarikat-syarikat ini bukan baru ditubuhkan semalam. Tapi sudah berbelas malah berpuluh tahun yang lepas tetap perniagaan mereka masih wujud sampai sekarang.